tinta editor


ADA APA DENGAN CINTA?



Suatu hari saya dengan tidak sengaja terjumpa kartu-kartu lama yg sudah kuning, separuh mereput, seperti sengaja pula disorokkan di dalam kotak di bwh katil, nun di kg yg sudah lama ditinggalkan. Membuka helaian-helaian cinta lama membuat saya ketawa sendiri, spt melihat diri kita di dalam sebuah album hidup -Perca-perca perasaan bertaburan di sana-sini, lafaz cinta dan rindu dendam terasa seperti murah, dan keanak-anakan. Namun saya percaya, percubaan-percubaan cinra itu perlu. Tidak menjadi sampai ke jinjing pelamin. Terkadang, kita perlu mencuba, beberapa kali -Gagal,kandas, kecewa- Sebelum hati akhirnya berkata sedia dan dialah orangnya.

Persoaannya, ada apa dengan cinta? Cinta itu apabila kita sanggup digelumangi rasa sakit dan pedih, tetap mahu mendampingi si dia biarpun kita tahu dia menduakan kita. Cinta itu apabila kita terperangkap dalam pilihan sendiri, bertemu dengan Mr Nice-But-Not-Quite-Right, tetapi kita tidak sanggup menolak dan menghampakannya. Cinta itu apabila deria kita buta, dan kita rasa hidup sudah memadai apabila kita berasa loved, secured and protected.

Ada apa lagi dengan cinta? Cinta itu apabila kita tergila-gilakan si dia dan menyimpan lipatan bungkusan burger pemberianya biarpun ia sudah berlekit kerana menyerap minyak dan mayonis (ini saya tujukan khas untuk kamu, Hikmah, untuk perjalanan cinta kamu yang panjang -kejar-mengejar, rajuk-merajuk, pikat-memikat, langsung pujuk-memujuk); akhirnya bertemu kesudahan bahagia. Kisah Hikmah, senior saya menyimpan kepingan kertas biru pembalut burger pemberian Husni suatu malam di dalam laci di asrama, adalah kenangan saya menyaksikan cinta yang tidak pernah mengalah. Kini Hikmah dan Husni bahagia diikat akad sebagai suami dan isteri, sudah pun bercahaya mata. Peristiwa cinta Hikmah dan Husni membuat saya pasti membawa kesudahan yang baik di penghujungnya.

Ya, cinta itu apabila kita tergila-gilakan si dia yang tinggi-tegap-segak-kacak,berkulit putih kemerah-merahan, berambut hitam sedikit ikal, berbibir merah jambu bersih,berpakaian molek,berperawakan elok, berbahasa seadanya. Seperti yang berlaku 10 tahun dahulu, alahai 'tersangkut' sekejap dengan Hizairi Othman. Orangnya kacak, putih-tegap-tinggi, sasterawan muda yang kami temui saban bulan dalam mensyuarat Kelab Alumni Minggu Penulis Remaja DBP. Patutlah ada kakak penulis (peserta MPR tahun keberapa saya pun tak ingat), bergaduh-gaduh, bermasam-muka, kerana rupanya sudah jatuh syok, cemburu dan berebutkan Hizairi. Aneh. Pokoknya, kalau Hizairi yang kacak tinggi itu hadir ke majlis MPR, memang banyak benar gadis genit yang menggelinjang suka. Ada pula yang simpan tandatangan Hizairi bawah bantal dan tidur sambil tersenyum suka sampai ke pagi.

Ya, cinta itu menjadi monyet-monyetan apabila kita tidak dapat menilai- Yang mana satu crush dan yang mana satu gesaan nurani - Yang mana satu cinta platonik, yang mana satu jujur dan tulen. "Minum teh apa sampai pukul empat pagi?" Begitu leter emak selalu, yang cukup tidak suka melihat anak daranya terjingkit-jingkit, terhendap-hendap masuk rumah pukul empat pagi (pintu rumah memang selalu berkeriut, tidak boleh menyorok). Namun kerana cinta platonik, duduk berembun dengan teman sejiwa, bercakap dan ketawa-ketawa sehingga larut pagi - Menjadi kenangan yang amat bahagia. Tidak ada istilah cinta, kerana kawan baik tetap kekal sebagai kawan baik, di dalam sempadannya tersendiri.

Cinta itu benar dalam dustanya. Cinta itu dusta dalam kebenarannya. Namun cinta itu benar apabila kita berhenti mencari. Cinta itu benar apabila kita sudah bersedia untuk susah dan sayang, sehidup semati dengannya. Saya fikir dalam cinta ada segalanya.

Salam kasih sayang untuk semua pembaca InTrend. Raikanlah cinta dan kasih sayang Februari ini, namun usah sesat dalam cinta sehingga lupa jalan pulang.



Credit
Rosie Haslinda Nasir
Editor Majalah InTrend

0 kata-kata semangat: