tsunami

HARI Ahad lalu akan tercatat di dalam sejarah Malaysia sebagai hari paling hitam dalam konteks bencana alam yang kita alami. Belum pernah terjadi di dalam sejarah negara kita, malah tiada sesiapa pun yang menduga bahawa kita akan mengalami bencana ombak besar yang selama ini Malaysia dianggap terselamat daripada sebarang malapetaka gempa bumi.
Tetapi, pada 26 Disember, malapetaka itu tanpa diduga, tanpa difikirkan, tiba-tiba melanda dan mengorbankan penduduk Malaysia. Alangkah terperanjatnya kita. Rupa-rupanya negara kita juga akan menerima kesan bahaya dari gempa bumi dan ombak besar yang berlaku di negara jiran.
Menatap laporan-laporan yang terpampang di akbar membuatkan hatiku tersentuh. Alangkah kesiannya mereka yang kehilangan ahli keluarga tersayang dan juga harta benda musnah sama sekali akibat bencana ini.Lebih-lebih lagi tentang fenomena aneh di Kepala Batas yang menyaksikan hasil tangkapan nelayan yang luar biasa sehingga mencecah RM7,000 sehari beberapa hari sebelum ombak besar Tsunami melanda pantai di kawasan berkenaan Ahad lepas.Menurut seorang nelayan, hasil tangkapan tersebut bertambah tujuh kali ganda beberapa hari sebelum kejadian itu berbanding jumlah biasa yang hanya mencecah RM700 hingga RM800 sehari. Mereka membuat kesimpulan ia merupakan "ikan yg turun dr langit" tanpa menyedari rezeki yang melimpah ruah itu akan disusuli oleh malapetaka yang tak pernah dilihat selama ini.
Baru-baru ini Perdana Menteri kita, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan mengadakan sebarang acara kemeriahan atau perayaan menyambut Tahun Baru, sebaliknya menganjurkan semua pihak termasuk swasta supaya mengadakan majlis doa agar negara selamat daripada sebarang bencana.
Serentak dengan itu, Perdana Menteri meminta masjid-masjid di seluruh negara mengadakan doa selamat di samping membacakan khutbah Jumaat yang berhubung kait dengan malapetaka tsunami.

Keputusan Datuk Seri Abdullah yang berani walaupun menyedari mungkin tidak disenangi oleh beberapa pihak namun itu adalah keputusan terbaik. Aku merasakan majoriti rakyat menyokong keputusan tersebut.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama membantu mereka dengan menghulurkan bantuan mengikut kemampuan masing-masing sama ada barangan keperluan ataupun wang ringgit.

0 kata-kata semangat: